Mesyuarat
Pertemuan Strategik KASB dan PERHEBAT negeri Melaka
Disediakan oleh Huda Ali
Melaka, 30 April 2025 — Satu pertemuan tidak rasmi antara pihak KASB (Koperasi Agro Sukses Pasir Mas Berhad) dan PERHEBAT (Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera) negeri Melaka telah diadakan baru-baru ini bagi membincangkan pelaksanaan kerjasama strategik dalam program akuakultur yang menyasarkan golongan belia sebagai pemacu kepada pembangunan ekonomi komuniti luar bandar.
Pertemuan tersebut berlangsung di pejabat PERHEBAT Melaka dan dihadiri oleh wakil pengurusan tertinggi kedua-dua pihak. Fokus utama perbincangan adalah merangka pelan tindakan jangka pendek dan panjang bagi merealisasikan program penternakan ikan air tawar secara sistematik dan mampan.
Program ini bertujuan memberi peluang kepada bekas anggota tentera untuk menceburi bidang akuakultur secara komersial dengan sokongan daripada sektor swasta dan agensi kerajaan. Melalui kerjasama ini, KASB akan menyediakan kepakaran teknikal dalam pengurusan ternakan, teknologi penternakan moden, latihan serta pemasaran hasil, manakala PERHEBAT akan menyelaraskan penyertaan peserta.
Menurut KASB, program ini mampu menjadi platform keusahawanan yang berdaya maju dan memberi pulangan ekonomi yang menguntungkan kepada peserta yang komited. Tambahan pula, usaha ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk menggalakkan penyertaan golongan muda dalam sektor agro-makanan melalui pendekatan latihan berasaskan industri.
Pihak PERHEBAT turut menyatakan keyakinan bahawa kolaborasi ini akan membuka lembaran baru dalam memperkasakan bekas anggota tentera serta menyumbang kepada keselamatan makanan negara melalui peningkatan pengeluaran ikan air tawar tempatan.
Pertemuan ini menandakan permulaan kepada satu kerjasama yang diyakini dapat memberi impak positif kepada pembangunan ekonomi belia di Melaka. Pelaksanaan program rintis dijangka akan bermula dalam masa terdekat, sebaik sahaja segala persediaan diselaraskan.